11 Disember 2008

Pengalaman saya beraya di kampung orang lain

Ya, saya telah beraya di kampung orang lain pada Aidil Adha lalu, tapi bukanlah orang lain sangat, kampung kakak ipar saya yang terletak di Taiping.

Kenapa saya beraya di sana? Sebab diajak oleh abang saya kerana beliau telah mengadakan aqiqah untuk anak mereka. Jadi kami adik beradik yang belum berkahwin bersama ibu kami telah pergi ke Taiping pada malam raya tersebut, Ahad 7/12/2008.

Tiba sahaja di sana, abang saya yang masih belum berkahwin itu dikehendaki patah balik ke Ipoh kerana beliau terbawa kunci kereta yang diletakkan dalam Tesco untuk pameran dan bos Tesco tersebut menyuruh beliau menghantarkan kunci sebelum tutupnya Tesco tersebut.

Kasihan melihat abang saya yang bakal pulang bersendirian dan diajak pula menemaninya, saya pun ikut pulang ke Ipoh juga.

Sesudah menghantar kunci, kami bergerak semula ke Taiping.

Sesudah itu, tidur....zzz

Bangun pada keesokannya, kami bersama pergi ke masjid berdekatan untuk solat sunat Aidil Adha. (Dapatlah jua saya solat sunat raya selepas ketinggalan pada Idulfitri yang lalu). Abang saya yang belum berkahwin itu telah mengambil kesempatan meletakkan flyers mengenai kereta yang dijual di syarikat beliau bekerja. Nampaknya kalau terkena seorang atau dua yang membeli kereta dari beliau, dapatlah saya menge'pau' beliau satu hari nanti.

Apa isi kandungan khutbah? Entahlah, saya dengar sambil tidur sahaja (atau tidur sambil dengar?) sehingga menyebabkan saya berjalan terhincut-hincut akibat kaki kanan saya yang telah kebas akibat duduk terlalu lama.

Pulang ke rumah untuk menukar sepersalinan perosah seperti ibu saya cakap atau pakaian untuk membuat kerja-kerja kotor/baju yang boleh dikorbankan selepas itu.

Kemudian kami ke rumah nenek kakak ipar saya kerana disitulah lokasi penyembelihan lembu tersebut.

Sampai sahaja, nampaknya lembu tersebut sudah pun dikorbankan. Seterusnya adegan melapah menyusul. Tanpa sebarang pisau atau golok, abang saya dan saya sekadar membantu mengangkat dan mengalihkan kaki lembu yang terikat untuk menyenangkan kerja orang lain melapahnya.

Sesudah melapah, memotong pula. Abang saya bertugas sebagai pembuat dan penjaga api.

Akibat dari kecederaan lalu, saya terpaksa berhenti hack n slash daging dan tulang kerana kesakitan mulai terasa. Saya beralih ke bidang lain pula iaitu memcuci perut.

Kami (Pak Ngah, Abang Saiful yg merupakan abang ipar abang saya atau biras saya dan abang saya serta saya) telah pergi mencuci perut di anak sungai berdekatan. Wah, sungguh harum bau isi perut lembu ya?

Bagaimana perut yang sebegitu hitam dapat bertukar kepada warna putih kekuningan yang bersih?

Mudah sahaja, gunakan kapur simen (yang kami telah gunakan) atau lain-lain bahan kimia berasaskan kalsium karbonat dan rendam perut itu di dalamnya.

Ketika itu juga hujan mula turun mencurah-curah. Kebasahan dalam hujan beserta kaki terendam dalam air, pundi kencing kami bergegar kerana kesejukan tersebut. Tapi kami tahankan jua untuk menyiapkan perut untuk dikongsi beramai-ramai.

Keluarkan perut dari dalam besen, dan sedikit adegan menggosok-gosok, hilanglah bahan hitam yang terlekat pada dinding perut tersebut. Ajaib bukan? Saya yang pertama kali mencuci perut berasa takjub melihat perubahan tersebut.

Akibat dari membongkok terlalu lama, pinggang mula terasa sakit.

Tiba-tiba, kereta sorong yang diletakkan di gigi air hampir tumbang, dengan spontan saya menyelamatkan kereta sorong itu daripada jatuh dan menumpahkan isi perutnya iaitu perut lembu ke dalam air. Tetapi Abang Saiful juga berpendapat sedemikian dan dengan tangannya memegang golok, beliau telah tanpa sengaja menghiris tangan saya.

Saya merasai kepedihan, tetapi tiada luka, lama-kelamaan menitis jua darah dari tangan saya itu. Nasib baiklah saya pada ketika itu memakai jam tangan Citizen Automatic 21 Jewels arwah bapa saya yang mempunyai tali berasaskan besi. Kalau tidak, panjanglah luka saya itu dan mungkin memerlukan jahitan.

Tanpa memikirkan kepedihan tersebut, saya meneruskan kerja-kerja mencuci tersebut.

Sesudah mencuci, kami pulang semula ke rumah dan tibalah segerombolan makcik-makcik yang berebut-rebut ingin mendapatkan bahagian perut masing-masing. Pak Sahak iaitu bapa mertua abang saya menyuruh saya mengambil bahagian saya, tetapi saya merasakan ibu saya tidak tahu memasak perut. Tetapi Pak Sahak tetap mahu saya mengambil bahagian. Saya ambil, tetapi beliau menyuruh saya menambah lagi. Rasanya hampir dua kilogram perut yang saya ambil. Bila pula saya boleh merasainya?

Ya, hujung minggu ini saya bakal merasainya kerana saya akan pulang malam esok. Daripada tidak pulang ke Ipoh selama dua bulan semenjak Idul Fitri, sekarang saya rajin pula pulang. Kalau termasuk esok, dalam masa dua minggu saya pulang sebanyak tiga kali.

Rindu Ipoh.

Selepas itu, tibalah acara yang ditunggu-tunggu iaitu makan!

Saya lihat muka-muka saudara-mara kakak ipar saya, kenapa mamat-mamat ini tidak kelihatan sebelum ini?

Oh, rupanya di setiap keluarga ada sahaja di kalangan mereka yang jenis datang untuk makan sahaja, menolong tidak mahu. Apa jenis manusia mereka ini, saya yang bukan keluarga boleh membantu, apalah pula mereka yang keluarga?

Situasi ini juga dilihat di mana-mana majlis perkahwinan yang mengamalkan konsep rewang iaitu bergotong-royong memasak (kalau tidak silap saya). Saya dan rakan yang bukan keluarga lebih rajin daripada mereka yang keluarga. Fikirlah tuan-tuan, bila tuan-tuan mahu membuat majlis nanti, siapa yang akan menolong tuan-tuan nanti?

Selepas makan, kami pulang semula ke rumah Pak Sahak. Kebasahan daripada mencuci perut, saya terus mandi, tukar pakaian dan tidur keletihan.

Selepas maghrib kami dihantar pulang oleh abang saya ke Ipoh.

Begitulah cara saya beraya di kampung orang lain.

Sekian terima kasih...

p/s: Bagaimana dengan bahasa baku skema saya? Boleh teruskankah? Atau kembali kepada bahasa rojak atau urban atau bercampur-baur dengan Bahasa Inggeris?

2 komen:

Rembo berkata...

sila teruskan bahasa ini. dengan gaya santai lagi best! hehehe

Unknown berkata...

gaya santai macam susah sikit la, kalo skema senang tapi skema la..